Sepanjang proses pembelajaran Pak Din sehingga kini, alhamdulillah, Pak Din dapat tempuhi semuanya dengan baik. Cuma ada beberapa bahagian yang Pak Din agak terkilan dengan keputusan Pak Din sendiri. Walaubagaimanapun, Pak Din tetap redha dan Pak Din tahu tu semua ketentuan Allah Ta'ala.
Chop chop!!! Bukan itu yang ingin Pak Din kongsi dalam post kali ini. Tak nak la sedih-sedih ni. Pak Din nak kongsi serba sedikit pengalaman Pak Din belajar dalam kelas, sejak dari tadika, sehinggalah ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tapi yang kat tadika tu takde la banyak sangat. Budak-budak tau ape kan?
Setiap peringkat tu berlainan cara dan metodologi pengajiannya. Cuma Pak Din akan cuba rumuskan beberapa perkara penting, dan jadikannya sebagai panduan umum. Insyaallah boleh dijadikan panduan untuk kita semua. Semua yang Pak Din tuliskan di sini adalah apa yang Pak Din telah amalkan dan daripada apa yang Pak Din dapat dari pemerhatian Pak Din. Walaupun ada di antaranya yang nampak pelik sedikit, tapi, itulah cara Pak Din. Hehe!
1. Lazimkan solat hajatSolat hajat sememangnya amat penting dalam mencapai apa jua perkara yang kita inginkan. Walaupun kita telah berusaha, kita masih dituntut untuk melakukan solat hajat, sebagai tanda yang menunjukkan bahawa kita amat berhajat kepada Allah Ta'ala, dan kita amat perlu kepada pertolonganNya. Boleh jadi, jika kita berada dalam keadaan yang amat terdesak, seperti tidak sempat untuk menghabiskan
revision, lalu kita bersolat hajat, insyaallah kebanyakan soalan yang keluar adalah apa yang telah anda ulangkaji. Ajaib bukan? Tapi, jangan pula bergantung pada solat hajat semata-mata dan langsung tidak berusaha. Itu dijamin tidak akan memberi hasil kerana anda telah menyalahi konsep.
2. Bersangka baik terhadap AllahApabila anda meminta sesuatu dari Allah Ta'ala, bersangka baik dan yakinlah bahawa permintaan anda akan diperkenankan.
Dalam satu hadith qudsi, Allah berkata :
أنا عند ظن عبدي بي وأنا معه إذا ذكرني"
Sesungguhnya Aku mengikut sangkaan hambaKu terhadapKu dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu."
Jika anda telah berusaha, mintalah kepada Allah Ta'ala agar dibalas usaha anda itu dengan kejayaan. Allah tidak akan menzalimi hamba-hambaNya jika mereka berusaha. Mintalah yang terbaik dari Allah. Jangan pulak minta cukup-cukup je. Mintak la lebih-lebih, mintak banyak-banyak, walaupun lebih dari usaha yang anda lakukan. Allah bukan tak mampu nak beri.
Namun, jika permintaan anda tidak diperkenankan, ingatlah bahawa sebenarnya permintaan anda bukannya tak diperkenankan, tapi belum masanya, kerana Allah tahu apa yang terbaik untuk anda. Allah akan sentiasa beri yang terbaik. Walaupun kadang-kadang anda menyangka yang anda sepatutnya berjaya dengan usaha yang telah anda lakukan, tapi Allah lebih tahu. Boleh jadi kegagalan anda pada kali ini akan membawa kepada kejayaan yang jauh lebih besar di hari lain.
3. Sentiasa mengaminkan doa orang lain."Kitorang yakin, kau gerenti dapat 12 A1 dalam SPM nanti. Kau kan hebat. Otak pun cepat
pick up."
Jika ada rakan anda berkata kepada anda seperti di atas, beri respon positif dengan mengaminkannya, "Amiiin... Insyaallah aku boleh buat. Korang pun boleh gak."
Elakkan dari berkata, "Ish, mana ada. Aku risau ni sebab banyak lagi tak habis baca. Jauh benar la nak dapat 12 A1 tu. Lain la kalau korang. Huhu!"
Sebenarnya, apa yang diucapkan boleh menjadi satu doa. Tak ada salahnya jika kita mengaminkan kata-kata yang baik dan berharap agar Allah maqbulkan kata-kata itu.
4. Hormati guru andaPak Din teringat kata-kata seorang penyair yang berbunyi:
كاد المعلم أن يكون رسولا"Hampir-hampir sahaja seorang guru itu menjadi seorang rasul (kerana tinggi dan mulianya martabat guru)"Hormat kepada guru adalah adab terpenting dalam kita menuntut ilmu. Kita hormat kepada guru adalah untuk mendapatkan keberkatan, kerana, sebanyak manapun ilmu yang kita dapat ambil daripada seseorang guru, jika tiada keberkatan, maka tiadalah gunanya, dan lahirlah cendekiawan-cendekiawan yang tidak dapat menyumbang, lahirlah graduan-graduan yang kaya di sijil tetapi miskin di hati.
Hormatilah semua guru, tak kira sama ada mereka mengajar anda atau tidak.
5. Baca dan fahami terlebih dahuluSetiap hari, sebelum masuk ke kelas, pastikan anda telah membaca apa yang akan diajar oleh guru pada hari tersebut. Cara ini insyaallah dapat meningkatkan peratus penerimaan anda terhadap input. Cuba baca pada sebelah malam dan fahami sedikit demi sedikit. Jika sukar difahami, teruskan sahaja pembacaan anda sehingga habis kerana cara begini turut membantu anda memahami pelajaran pada keesokan hari. Sebenarnya, bukan sahaja anda dapat faham dengan mudah ketika guru mengajar, bahkan anda dapat mengingatinya dengan lebih lama.
6. Duduk di barisan hadapanApabila masuk ke kelas, pilih la tempat duduk di hadapan. Sebaik-baiknya di hadapan guru. Banyak kelebihan apabila anda duduk berhadapan dengan guru. Antaranya, sekiranya anda seorang yang pemalu dan kurang berani untuk bertanya dalam khalayak ramai, kini anda boleh bertanya kepada guru di hadapan anda dengan lebih tenang kerana anda tidak memerlukan suara yang kuat untuk bertanya (yang menyebabkan aliran darah semakin laju dan menjadikan anda gementar) serta boleh berbincang dengan lebih banyak berkenaan soalan dan sebagainya.
Selain itu, guru juga akan lebih mengenali anda sekaligus tumpuan istimewa akan diberikan kepada anda. Perkara ini penting bagi penuntut-penuntut di institusi-institusi pengajian tinggi, yang mana hubungan 'persahabatan' dengan pensyarah kadang-kadang menjadi suatu keperluan.
7. Anda adalah pelajar, bukan pengajarSepandai manapun anda, jangan sesekali menganggap bahawa anda lebih pandai daripada guru di hadapan anda. Hal ini menimbulkan banyak kesan negatif. Contohnya, anda menganggap apa yang diajarkan oleh guru adalah tidak betul lalu anda tidak memberikan tumpuan kepadanya. Ataupun, anda hilang rasa hormat terhadap guru lalu bersikap tidak sopan di hadapannya.
Ada satu perumpamaan yang dicanai oleh seorang motivator:
"Apabila anda masuk ke kelas, masuklah seperti satu gelas yang kosong yang bersedia untuk dituangkan air ke dalamnya. Jangan masuk seperti gelas yang penuh berisi air, lalu ia tidak dapat menerima apa-apa lagi."
8. Sayangi buku anda dengan mencontengnyaJangan terlalu sayangkan buku sehingga anda tidak sanggup mencalitkan walau sedikit nota di atasnya. Maklum la, buku baru dibeli. Adakalanya anda merasakan bahawa anda ingat
point-point yang diberi, dan anda menyangka anda boleh ingat kesemuanya sehingga menjelang peperiksaan, tapi sebenarnya tidak. Anda hanya akan mengingatinya sementara sahaja. Selepas tempoh tertentu, anda akan melupakan sebahagian besar daripada
point-point itu.
Kadang-kadang, guru akan memberikan sesuatu yang tidak terdapat di dalam buku anda, atau mungkin sesuatu yang boleh dipakai pada satu hari nanti. Jika anda mencatatnya, anda akan teringat semula apabila anda membelek buku tersebut pada bila-bila masa.
9. Aktifkan dirimuJangan terlalu pasif ketika sesi pembelajaran sedang berlangsung. Ajukan soalan agar kelas anda lebih meriah. Soalan-soalan yang ditanya selalunya akan lebih diingati dengan lebih lama. Guru juga akan dapat lebih mengenali anda, dan akan selalu bertanya kepada anda jika anda ada masalah mengenai pelajaran. Ini suatu bonus buat anda kerana anda boleh bertanya kepada guru anda pada bila-bila masa tanpa rasa segan, walaupun di luar waktu kelas.
Pak Din merupakan pelajar yang memang kerap bertanya kepada guru Pak Din. Kadang-kadang jika apa yang disampaikan oleh guru tu berlainan dengan apa yang Pak Din tahu, Pak Din akan bertanya. Tidak rugi. Mungkin sesiapa yang tersilap di antara kami akan dapat memperbetulkan silap fahamnya.
Kelas yang pasif akan menyebabkan suasana pembelajaran menjadi sangat membosankan. Ye la, kalau semua pelajar hanya mendengar sahaja sehingga habis waktu, memang mengantuk la jawabnya. Jika ada pelajar yang bertanya, semua tumpuan akan diberi kepada pelajar tersebut dan secara tidak langsung, otak akan 'terjaga' dari tidur, menjadi aktif, dan segar semula.
10. Berikan tumpuan / buat-buat beri tumpuanTumpuan di dalam kelas sangat la penting ketika sesi pembelajaran ataupun ketika anda sedang mengulangkaji pelajaran anda. Apabila guru sedang mengajar, anda seharusnya mendengar dengan teliti. Hal ini kerana, jika anda hilang tumpuan walau seketika, anda akan menghadapi kesukaran untuk mengejar atau
catch up semula apa yang sedang diajar. Akhirnya, apabila dah
start tak faham tu, datang la perasaan malas, sedikit demi sedikit, akhirnya anda tak dapat dah nak beri tumpuan.
Tapi, JANGAN berhenti dahulu! Teruskan dan cuba beri tumpuan. Mungkin apa yang anda tidak faham tu hanya sedikit sahaja, dan anda boleh beri tumpuan untuk yang lain. Apabila anda tertinggal atau tidak dapat tangkap apa yang disampaikan oleh guru, lakukan perkara berikut:
- buat sedikit catatan tentang apa yang anda terlepas, atau tandakan pada buku agar anda tidak lupa.
- tinggalkan apa yang anda terlepas dan segera ikuti apa yang sedang dibincangkan oleh guru. Jangan membuang masa memikirkan atau cuba memahaminya kerana anda mungkin akan terlepas lebih banyak perbincangan yang sedang berjalan.
- setelah selesai perbincangan, barulah anda tanyakan kepada guru anda mengenai pelajaran yang terlepas tadi.
- ATAUPUN, jika apa yang anda terlepas itu amat penting untuk difahami (memandangkan benda tu berkaitan dengan perbincangan yang seterusnya), jangan malu jangan segan, segera angkat tangan dan katakan, "cikgu, boleh ulang?" Guru akan dengan senang hati bertanya, "part mana yang awak tak faham tu?"
Lagi satu, jika anda benar-benar tidak dapat memberi tumpuan kerana sebab-sebab tertentu seperti letih dan sebagainya, yang menyebabkan otak anda tak dapat 'berfungsi', atau mungkin guru yang mengajar tersebut mem
boringkan, tolonglah, jangan tidur, jangan letakkan kepala anda di atas meja, jangan melukis, dan sebagainya. Pandang muka cikgu, anggukkan kepala sekali-sekala, atau lakukan apa sahaja yang menunjukkan anda sedang memberi tumpuan kepada sesi pembelajaran.
Bunyinya pelik bukan? Hehehe! Tapi itulah yang Pak Din selalu buat kalau otak tengah
down. Bukan apa, kita cuma nak jaga hati guru. Guru mesti ada terasa kurang senang jika ramai di antara anak muridnya yang tidur atau buat benda lain ketika dia sedang mengajar. Bila guru tidak gembira, ini akan memberi kesan kepada cara pengajarannya pada hari itu. Kelas yang
boring akan menjadi semakin mem
boringkan.
Selain tu jugak, apabila guru tidak suka dengan tindakan anda yang tidak memberi tumpuan di dalam kelasnya, dikhuatiri ini akan menyebabkan berkat ilmu tu tak sampai kepada anda. Anda akan menjadi sukar untuk memahami pelajaran, sukar mengulangkaji, semakin tertekan apabila
exam menjelang, atau mungkin tak dapat jawab
exam dengan baik. Rugi bukan? Jadi, berikan tumpuan dalam kelas, atau buat-buat la beri tumpuan.
Tapi... kalau dah mengantuk sangat, tidur je la. Tapi jangan lama sangat. ambil rehat dalam 5-10 minit dah cukup. Orang kata, ubat bagi menghilangkan mengantuk tak lain dan tak bukan ialah tidur. Pak Din pun kalau tak tahan sangat, Pak Din
landing je sekejap. Hehe!
Mm... rasanya dah banyak yang Pak Din kongsikan dengan korang ni. Kalau nak tau, benda-benda ni la antara yang Pak Din selalu buat dan praktikkan. Hasilnya, alhamdulillah. Faham-faham la ye. Hehehe!
Tujuan Pak Din kongsikan petua-petua ni bukan nak menunjuk, tapi, tak senang pulak rasanya simpan lama-lama. Kita berjaya, kawan lain tak ke mana. Jadi tak seronot la kan?
Sebonanye ade dua tiga petua lagi, tapi Pak Din tak dapat nak
recall. Insyaallah jika ada kelapangan, Pak Din akan
updatekan. Jumpa lagi dalam post yang akan datang, insyaallah.